|
|
Biodata
Berkepala besar, berbadan kecil. Mengenakan garis-garis
halus sebagai shadow. Roman muka yang sarat dengan
makna. Aksi tangan memadai untuk menterjemahkan
kata nurani kerana lidahnya sering kelu.
Karakter
ciptaannya kuat dan tegas. Penyampaiannya ekonomik
tapi lumayan. Para menteri dan pemuka-pemuka masyarakat
sering menjadi objek sasarannya. Itulah ciri khas
goretan Rossem dalam karakter yang ditampilkan.
Lahir di negeri Cik Siti Wan Kembang pada 1948.
Berjinak dengan kartun secara serius tahun 1970.
|
|
Peringkat awal menerima sedikit tunjuk ajar dari
kartunis veteran Rejabhad. Rossem dianggap sebagai
kartunis yang agak kebarat-baratan terutama kerana
gayanya sangat dipengaruhi kartunis Amerika. Politik
dan peperangan, isu yang sering menarik minat Rossem
untuk dikartunkan - Politik mengambarkan kepintaran
manusia manakala peperangan terserlah kebodohan
manusia paling ketara.
"Karikatur pertama yang
dihasilkan (1965) sewaktu peperangan Arab-Israel
tengah memuncak. Saya melukis General mata satu Yahudi-Moshe Dayan," tutur Rossem. Tak hairanlah, kerana
minat kepada kisah-kisah politik dan peperangan,
beliau akhirnya memilih kerjaya 'Pasukan berunifom'
disamping berkartun. 'Konstabel Jabit' karakter
kartun pertama masuk koran-Utusan Malaysia (1978-1994).
Disusuli Pak Din Pencen -Utusan Melayu (1978- 1990).
Selepas bersara dari pasukan berunifom, menjadi
kartunis sepenuh masa dengan koran The Sun (1993
hingga sekarang).
Karya-karyanya berkelana dihampir
separuh koran dan majalah-majalah di Malaysia dalam
pebagai tema. Dari gelagat warga kota yang nafsu
nafsi hingga ke warga desa yang harmonis. Dari kebisingan
mobil-mobil di jalan raya hingga ke bunyi ungka
di rimba belom. Dari keperitan kehidupan kelompok
setinggan di Kuala Lumpur hingga ke kehidupan sang
mewah di Bukit Damansara. Dari teriakan sang reformis
di depan Sogo dan Kampung Baru hingga teriakan siren
dari trak FRU. Dari laungan Allah Huakbar di Masjid
Al Rahman Universiti Malaya setiap kali usai solat
Jumaat (protes pembinaan Kerincilink) hingga laungan
'Kalau kamu tidak bersurai dalam masa lima minit,
kami akan suraikan dengan kekerasan'. "Dia
mampu menangkap peristiwa untuk diterjemahkan dalam
sketsa kartun untuk mengajak khalayak berfikir di
samping senyum tawa," tutur Rizalman, komikus
yang tidak asing lagi di Malaysia. Rossem juga selaku
Naib Presiden Persatuan Kartunis Selangor dan Wilayah
Persakutan (PEKATUN) untuk menunjang hidup, ia mengakui
bergantung sepenuhnya kepada "kartun"
sebagai sumber pendapatannya.